Follow Jom!

KENALI NAZREY

 Nazrey Johani atau nama sebenarnya Alexander Lajip telah dilahirkan pada 12 Mei 1971 di sebuah perkampungan di kaki gunung Kinabalu iaitu kampung Kilimu, Ranau, Sabah dan dibesarkan di kampung Sinarut Baru. Beliau merupakan anak ke-7 daripada 11 orang adik beradik. Beliau memulakan persekolahan seusia 7 tahun di SK St. Benedict, Ranau. Seterusnya menyambung pendidikan peringkat menengah di SMK Mat Salleh, Ranau. Beliau telah memeluk Islam di usia 12 tahun kerana mengikut penghijrahan kedua-dua orang tuanya. Setelah tamat pengajian di peringkat menengah, beliau terus berhijrah ke ibu negara, Kuala Lumpur. Penghijrahan beliau bukanlah disebabkan desakan dari mana-mana pihka, sebaliknya berhijrah atas niat murni beliau sendiri kerana ingin terus mendalami ilmu-ilmu serta suasana Islam (baiah Solehah). Beliau juga ingin mencari kekuatan dari segi spiritual dan praktikal untuk mengamalkan Islam dalam budaya dan cara hidup beliau. Dalam penghijrahannya di ibu negara, perasaan cinta untuk berdakwah serta memperjuangkan agama Allah subur dan menebal dalam sanubarinya. Sejak beliau mula menjinakkan diri dalam berdakwah, beliau telah banyak melibatkan diri dalam pelbagai persatuan dan wadah pejuangan.

   Di waktu semangat juang beliau membara di hati, namun hakikatnya mengalir darah seni dalam dirinya. Dari situ beliau mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian lagu-lagu ketuhanan yang kini dilabelkan sebagai lagu nasyid. Dari situ beliau mula menghasilkan beberapa buah karya dalam penulisan lirik serta penghasilan lagu-lagu nasyid yang menyentuh hati setiap pendengarnya. Ketika beliau semakin aktif dalam bidang nasyid. Beliau mula menganggotai sebuah kumpulan nasid yang diberi nama ‘The Zikr’.

   Kumpulan tersebut ditubuhkan pada tahun 1992 bermula dengan album ‘Munajat’ dan diikuti dengan album ‘Kenangan’, ‘Antara 2 Cinta’, dan album yang terakhir mereka bertajuk ‘Secerah Pawarna’ sekitar tahun 1995. namun, tanpa di duga, kumpulan tersebut telah dibubarkan. Kendatipun begitu, semangat seorang pejuang tidak berhenti di situ, atas ketentuan Illahi yang Maha Agung, beliau seterunya menganggotai sebuah kumpulan nasyid tersohor di tanah air yang diberi nama RAIHAN yang telah berjaya meluaskan sayap dakwah mereka hingga 2/3 bumi Allah bermula dengan album pertama mereka bertajuk ‘Puji-pujian; yang telah berjaya dijual sebanyak 700, 000 unit. Satu demi satu kejayaan telah dicapai oleh mereka berkat  menyampaikan dakwah Rasulullah dalam aliran nasyid.

   Setelah lebih kurang 10 tahun berdakwah serta berjuang bersama raihan, beliau mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut kerana merasakan perjuangan beliau di situ sudah sempurna dan beliau ingin meluaskan lagi aktiviti dakwah beliau dan membuka lembaran baru. Dengan itu, beliau mengambil tindakan untuk bergiat secara solo untuk memudahkan lagi perjalanan dakwah beliau.

   Sejak itu, beliau mula mengorak langkah dengan lebih banyak berdakwah di negeri kelahirannya, Sabah. Di situ, jauh di sudut hatinya, mula rasa tersentuh oleh kedaifan dari segi aspek agama di sana dan beliau mengambil keputusan untuk meluaskan lagi dakwahnya dengan berhasrat untuk membuka sebuah kompleks takfiz yang diberi nama ‘Tahfiz Bayu Syahadah’ sempena nama negeri itu sendiri.

   Dan kini satu persatu usaha telah dijalankan oleh beliau bagi memastikan inpiannya berjaya di realisasikan.

No comments:

Post a Comment